Anda di sini: Laman Utama › Artikel Bahasa Malaysia
Anak Istimewaku
Kebanyakan ibu akan merasa hampa apabila diberitahu anak mereka tidak normal. Berikut beberapa tip untuk menangani kanak-kanak istimewa.
Mengaku sahaja:
Apakah perkara pertama yang anda lakukan apabila bayi anda diletakkan di pangkuan anda? Adakah tanpa disedari anda menghitung jari tangan dan kaki untuk memastikan ianya lengkap? Jika benar, anda tidak keseorangan.
Setiap ibu mengidamkan bayi yang sihat, malah sempurna. Setelah anda pasti yang keadaan fizikalnya normal, anda akan memeriksa deria yang lain – pendengaran, penglihatan dan daya pemikirannya. Sesetengah kecacatan dapat dikesan sejak lahir, sesetengahnya pula mengambil masa untuk dikesan. Samada keadaannya melibatkan kecacatan fizikal, mental atau kedua-duanya, ramai ibu akan melalui tekanan emosi setelah mendapati mereka mendapat anak istimewa. Setiap ibu biasanya akan melalui 5 peringkat emosi sebelum ia dapat menerima hakikat dan menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Ia adalah:
Rasa bersalah:
Apakah ia disebabkan sesuatu yang saya makan? Adakah kerana kami terlalu kerap melakukan hubungan seks? Adakah kerana saya mengalami stress yang keterlaluan? Adakah kerana benih saya sudah tidak subur? Ibu yang melahirkan bayi yang tidak normal akan melalui perasaan sungguh bersalah kerana mereka menyangka kecacatan anak mereka mungkin disebabkan sesuatu yang mereka makan, lakukan atau sesuatu yang diabaikan.
Penafian:
Setelah perasaan bersalah mula reda, ibu akan memasuki peringkat menafikan hakikat tersebut dengan terlalu menumpukan kepada pekerjaan atau aktiviti yang menyibukkan. Dia ingin melupakan hakikat yang dia mempunyai anak itu.
Kemarahan:
Setelah ibu tersebut mula menerima hakikat yang dia mesti menghadapi dan menjaga anak istimewanya itu, dia akan menjadi marah, pada diri sendiri, pada Tuhan dan kepada dunia. Dia akan menyalahkan Tuhan, “Kenapa aku? Kenapa bayiku?” dan sebagainya. Dia juga akan menyalahkan suami, mertua, bos dan diri sendiri.
Kesedihan / Kebimbangan:
Perasaan marah selalunya akan reda lama-kelamaan. Kini muncul pula rasa kesedihan. Ibu merasa kesedihan yang teramat sangat bukan saja terhadap dirinya sendiri tetapi juga untuk bayi yang akan menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Ibu dapat merasakan penderitaan anaknya.
Penerimaan:
Setelah menempuh pelbagai dugaan, ibu akhirnya menemui kekuatan untuk meneruskan kehidupan, mengatasi rintangan dengan semangat yang tidak dia ketahui wujud sebelum ini. Dia akan mula mencari bahan bacaan, program pemulihan awal, kumpulan sokongan atau lain-lain bantuan yang dapat membantu anaknya hidup secara normal. Keseluruhan proses ini akan memakan masa beberapa bulan, tahun atau pun berpuluh tahun bergantung kepada kekuatan semangat ibu dan rangkaian sokongan yang diperolehinya. Ibu-ibu yang mendapat sokongan yang kuat dari ahli keluarga dan kawan-kawan biasanya dapat menguruskan keadan ini dengan lebih baik.
Perlu diingat mempunyai anak istimewa memberi kesan kepada seluruh keluarga, bukan sahaja kepada ibu dan bayi. Oleh itu suami dan anak-anak yang lebih tua perlu melalui proses kesedihan yang sama sebelum mereka dapat meneruskan kehidupan mereka.
Keluarga yang tidak berbincang tentang perasaan mereka biasanya akan berakhir dengan rasa sedih, sakit hati dan kekecewaan yang berpanjangan. Suami dan isteri juga perlu berbincang, berkongsi perasaan dan membantu sesama sendiri dalam menghadapi cabaran ini.
Jika anda baru saja dimaklumkan yang anda mendapat bayi istimewa, jangan nafikan diri sendiri peluang untuk melalui 5 langkah penerimaan tersebut. Persatuan Sindrom Down Malaysia juga menasihatkan:
- Lakukan satu persatu. Tangani masalah bayi anda, bukan remaja atau orang dewasa yang anda bimbang sukar untuk dihadapi.
- Terima bantuan ahli keluarga dan kawan-kawan. Anda tidak perlu berpura-pura tabah sepanjang waktu. Terima bantuan menjaga bayi anda, mendidik program istimewa atau berkongsi perasaan.
- Berikan diri sendiri masa untuk menerima hakikat. Menyesuaikan diri dengan kecacatan anak anda suatu tugas yang amat mencabar.
- Jangan hapuskan segala impian terhadap anak anda. Anda mungkin terkejut dengan cara dan tahap pencapaian anak anda. Ia mungkin berbeza dengan orang lain tetapi perkembangannya tetap memberangsangkan.
- Cuba berikan tumpuan kepada keseluruhan aspek kehidupan anak anda, bukan hanya terhadap kecacatannya sahaja.







