Login | Register
Share |
Join us at The Power of “Interactive” Play Parenting Workshop Sign up NOW!

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Bagaimana bayi membesar

Bulan pertama

Minggu 1 dan 2 – Kehamilan anda dikira sebagai bermula dari hari pertama haid terakhir. Minggu pertama ialah waktu anda mengalami haid dan minggu kedua ialah apabila pengovulan berlaku. Jadi, ketika ini bayi belum wujud lagi. Tempoh penuh kehamilan ialah 40 minggu. Pada waktu berlakunya penghamilan (konsepsi), anda dianggap telahpun hamil dua minggu .


Minggu 3 hingga 4 – Satu sperma daripada bapa bersatu dengan ovum (telur) daripada anda di dalam satu daripada dua tiub fallopian yang bersambung kepada uterus di dalam badan anda. Persenyawaan telah berlaku.

Jantina bayi ditentukan oleh sperma

Jantina bayi ditentukan oleh sperma sementara ciri genetik bayi bergantung kepada kedua-dua sperma dan ovum.

Ovum yang telah mengalami persenyawaan terus mula membesar. Sel-sel ovum membahagi-bahagi dan berkembang sambil bergerak turun di dalam tiub falopian. Pada hari keenam, ovum melekatkan diri pada pengalas uterin. Oleh kerana kini pengalas uterin diperlukan untuk pertumbuhan ovum, anda tidak akan mengalami haid dalam tempoh bayi membesar di dalam rahim.

Lapisan luar sel-sel yang sedang berkembang membentuk sistem sokongan hidup bagi bayi iaitu uri (plasenta), sak amnion dan tali pusat. Lapisan dalam membentuk embrio. Uri menyerap oksigen dan nutrisi daripada darah ibu dan menyalurkannya kepada bayi melalui tali pusat. Tali ini menghubungkan uri kepada pusat di perut bayi. Ia juga membawa bahan sisa perkumuhan daripada bayi kepada saluran darah ibu untuk dinyahkan. Uri mula berfungsi dan mengambil alih daripada sak yolka pada minggu kesepuluh.


Bayi yang membesar diselubungi di dalam dua lapisan nipis membran yang mengandungi cecair amnion. Ini biasa kenali sebagai air ketuban. Air ketuban melindungi bayi daripada hentakan dan tekanan, seperti “shock absorber”. Ia juga menghalang jangkitan daripada memasuki uterus. Kawasan yang berisi cecair ini memberi bayi ruang untuk bergerak-gerak. Suhu terkawal kekal. Air ketuban biasanya hanya pecah tatkala sampai waktu kelahiran.

Bulan kedua

Dalam minggu kelima, ujian kehamilan akan menunjukkan positif. Telur yang telah melalui persenyewaan kini dipanggil embrio.

Otak, tulang belakang, jantung dan system peredaran primitive mulai membentuk. Skeleton turut mula membentuk. Embrio kelihatan seperti ulat dan saiznya hanya sebesar hujung pena. Pada minggu berikutnya, struktur kepala mula kelihatan, beserta tanda-tanda lekuk yang tersedia untuk mata dan telinga. Struktur awal dagu mula membentuk.

Kudup-kudup tangan dan kaki telah terbentuk, dan pada hujung minggu kelapan ia berkembang menjadi struktur jari berselaput yang akan terus menadi jari-jari tangan dan kaki menjelang minggu kesembilan. Pada masa yang sama, kedua-dua tangan dan kaki tumbuh menjadi bertambah panjang. Kelopak mata dan telinga turut terus membentuk, sementara pembentukan paru-paru baru bermula. Ketika ini, sudah kelihatan hujung hidung dan siku. 

Pada minggu kesembilan, imbasan ultrasound seharusnya dapat mengesan degupan jantung yang kuat. Bayi akan mula membuat pergerakan-pergerakan kecil, namun anda belum boleh merasainya.

Bulan ketiga

Kini bayi dipanggil fetus. Ia mirip bayi yang baru lahir, walaupun kepalanya sangat besar. Dalam minggu kesepuluh, leher mula membentuk dan kelopak mata tertutup rapi untuk melindungi mata yang sedang membentuk.

Jantina bayi belum dapat ditentukan melalui ultrasound walaupun alat kelamin mulai membentuk. Sak yolka yang merupakan sumber terawal pemakanan bayi akan digantikan dengan plasenta pada minggu kesepuluh. Kuku bagi jari tangan dan kaki serta rambut mula membentuk. Ginjal menghasilkan urin dalam minggu ketiga belas dan urin dinyahkan ke dalam cecair amnion.

Ginjal menghasilkan urin pada minggu ketiga belas dan urin dinyahkan ke dalam cecair amnion

Sebahagian organ seperti hati dan pankreas mula berfungsi. Mata yang pada mulanya berjarak jauh antara satu sama lain dan telinga yang pada mulanya membentuk dekat dengan leher, akan mengambil kedudukan masing-masing seperti yang biasa terdapat pada bayi yang baru lahir. Sebahagian usus telah tumbuh di dalam tali pusat disebabkan ruang yang sempit, dan ini akan kembali ke perut. Menjelang hujung bulan, kesan jari unik telah siap wujud pada hujung jari bayi.

Bulan keempat

Ini permulaan trimester kedua dan perkembangan penting organ-organ utama telah berlalu. Justeru itu, risiko keguguran berkurangan. Bayi anda boleh menggunakan otot-otot muka, mengerutkan dahi seolah-olah menunjukkan perasaan seperti marah atau risau. Ia juga boleh menelan dan mendengar. Dalam imbasan ultrasound, anda mungkin akan nampak bayi menghisap jarinya.

Organ jantina luaran telah terbentuk dan dapat dilihat melalui imbasan ultrasound, dengan syarat alat kelaminnya berada pada kedudukan yang boleh menampakkannya.

Bulan kelima

Kakai bayi telah mencapai panjang relatifnya. Anda seharusnya boleh merasai pergerakan bayi and mendengar degup jantungnya dengan stetoskop.

Bayi anda boleh mengesan cahaya dan mendengar bunyi. Ia boleh mengenali suara anda. Anda mungkin ingin membaca atau menyanyi padanya. Bayi tidur dan jaga silih berganti.  Ia juga sentiasa menyimpan lemak supaya tidak kesejukan.

Bulan keenam

Berat bayi lebih kurang dua kilogram pada awal bulan dan meningkat kepada empat atau lima kilogram menjelang hujung bulan.

Otak bayi berkembang pesat dan imbasan otak ketika ini akan menampakkan tindak balas kepada sentuhan. Paru-paru kian matang bagi menyediakan bayi untuk hidup di dunia luar, namun belum lagi berfungsi. Bayi telahpun membesar sempurna mengikut kadar yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, kulitnya berkedut dan merah.

Bulan ketujuh

Anda memasuki trimester ketiga yang bermula pada minggu ke-27. Perkembangan pesat otak terus berlaku. Bayi membuka dan menutup matanya, dan boleh melihat bayangan objek dalam cahaya terang. Bulu kening dan alis telah tumbuh. Bayi turut bertindak balas terhadap bunyi.

Berat bayi terus meningkat. Ia menendang dan menggeliat serta menggenggam-genggam.

Bulan kelapan

Kebanyakan pembentukan dan perkembangan utama telahpun sempurna. Bayi anda bertambah beratnya dengan pesat. Kedutan pada mukanya hilang. Deria rasa pada lidah telah berfungsi dan bayi dapat mengenali rasa manis dan masam.

Tulang bayi telah menjadi keras tetapi tengkorak kekal lembut bagi tujuan kelahiran. Bayi biasanya tersedu pada peringkat ini. Besar kemungkinan bayi anda telahpun berpusing meletakkan kepala di bawah sebagai persediaan untuk kelahiran.

Bulan kesembilan

Menjelang minggu ke-34, paru-paru telah matang dan bersedia untuk berfungsi sendiri

Bayi anda bersedia untuk dilahirkan. Menjelang minggu ke-34, paru-paru telah matang dan bersedia untuk berfungsi sendiri. Perkembangan bayi terus berlaku dan akan terbentuk lapisan lemak di bawah kulitnya. Ini akan membantu mengawal suhu di luar rahim apabila bayi dilahirkan.

Tarikh kelahiran

Tempoh penuh kehamilan ialah 40 minggu atau 280 hari secara purata. Untuk mengira jangkaan tarikh lahir bayi anda, tambahkan 40 hari kepada hari pertama bagi kitaran haid anda yang terakhir. Contohnya, jika hari pertama bagi kitaran haid anda yang terakhir ialah 5 Februari, maka tarikh lahir bayi jatuh pada 12 November pada tahun yang sama.

Tarikh lahir bayi yang dikira itu adalah suatu anggaran sahaja. Bayi anda dijangka lahir pada bila-bila masa antara dua minggu sebelum dan dua minggu selepas tarikh lahir anggaran itu.

 


Rujukan
1. http://www.baby2see.com/development/month6.html
2. http://www.acog.org/publications/patient_education/bp156.cfm
3. http://www.i-am-pregnant.com/Pregnancy/calendar/week/40
4. http://www.pregnancy-facts.com/articles/fetal-development/timeline.php
5. http://www.umm.edu/ency/article/002398.htm
6. http://www.americanpregnancy.org/weekbyweek/week40.htm
7. http://www.wisegeek.com/what-is-a-yolk-sac.htm
8. Pregnancy booklet

 

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com