Login | Register
Share |
PetPet Easy Start Get RM12,000 FREE Insurance Coverage for you and your newborn - Click here

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Bersiap bersedia

Ini mungkin waktu yang anda paling teruja dalam tempoh kehamilan anda – membeli-belah untuk orang baru yang akan disambut! Anda tidak sabar-sabar untuk mendapatkan baju-baju comel itu. Tapi, nanti dulu! Mula-mula, anda perlu menyusun semula rumah anda, kemudian barulah anda boleh memikirkan tentang membeli-belah untuk bayi anda.

Anda perlu memastikan ruang untuk perkakas bayi di tempat-tempat berikut:

  • dapur – botol bayi dan peralatan untuk pemerahan susu
  • ruang basuhan – lampin dan pakaian bayi
  • bilik air – besen mandi bayi dan peralatan mandi
  • ruang tetamu – katil siang hari dan permainan bayi

Anda juga perlu pastikan anda memiliki peti sejuk dan peti sejukbeku yang berfungsi.

Bilik bayi

Sering kita lihat di televisyen bilik bayi yang dicat merah jambu atau biru dengan katil bayi di satu sudut, lengkap dengan permainan bermuzik. Sebenarnya, ini tidak semestinya praktikal. Anda mungkin tidak memiliki bilik lebih, ataupun mungkin lebih senang bagi anda jika bayi tidur di bilik yang sama dengan anda.

Apapun, pastikan bilik atau sebahagian daripada bilik yang hendak digunakan itu dikemaskan pada peringkat awal kehamilan, sewaktu anda masih bertenaga dan cergas bergerak. Jika anda inginkan bilik itu dicat, dapatkanlah khidmat orang lain untuk melakukannya.

Bilik bayi perlulah selamat dan mempunyai aliran pengudaraan yang baik, namun tidak pula terlampau berangin atau sejuk.

Peralatan katil

Peralatan yang diperlukan ialah katil bayi, cadar, dan mungkin pelindung lembut keliling katil. Bantal dan bantal peluk hanya sesuai untuk kanak-kanak berusia satu tahun ke atas.

Katil bayi

Tatkala anda mencari katil bayi untuk dibeli, adalah penting bagi anda memastikan perkara berikut:

  • Katil bayi itu mestilah teguh.
  • Tidak terdapat bahagian-bahagian tertonjol yang baju bayi mungkin tersangkut padanya.
  • Tidak terdapat mana-mana tempat yang mungkin menjerat jari-jari bayi. Tilam harus muat tanpa ada ruang. Jika ada ruang, lebar ruang hendaknya tidak lebih daripada dua jari.
  • Ruang di antara palang-palang harus antara 25mm dengan 60mm bagi memastikan bayi tidak tercelus keluar.
  • Ketinggian di antara bahagian bawah tilam dan tepi belah atas katil harus lebih daripada 60cm bagi memastikan bayi tidak dapat memanjat keluar.
  • Cat yang digunakan harus bebas-plumbum.
  • Bahagian yang boleh diturunkan mesti boleh dikunci rapi.

Cadar
Terdapat cadar yang rata dan yang sedia muat. Pilihlah jenis yang mudah bagi anda dan sesuai dengan bajet anda. Sebaik-baiknya, pilihlah cadar yang diperbuat daripada kain kapas.

Pelindung katil
Pelindung katil ialah kain pelapik tebal lembut yang diletakkan di sekeliling katil untuk melindungi bayi daripada terhantuk pada palang-palang katil. Ia turut melindungi bayi daripada angin sejuk . Juga, ia boleh mengandungi corak-corak yang menarik perhatian bayi.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keraguan tentang keselamatan pelindung katil. Seandainya pelindung katil terlepas daripada ikatan atau terurai, bayi menghadapi risiko lemas atau bahkan tercerut leher. Tambahan pula, walaupun pelindung berfungsi melindungi bayi daripada angin sejuk, ia boleh membawa kepada panas yang melampau.

Jika anda ingin menggunakan pelindung katil, pastikan tali-talinya diikat rapi. Sewaktu musim panas, mungkin anda boleh menanggalkannya buat sementara waktu agar katil bayi tidak terlalu panas, kecuali jika bilik itu menggunakan pendingin hawa dan suhu boleh disesuaikan sewajarnya.

Pakaian

Bayi kerap memuntahkan susu, berpeluh, meleleh air liur, dan membuang air kecil dan besar tanpa kawalan. Ini bermakna ia perlu banyak pakaian. Perlu ada sekurang-kurangnya enam set pakaian, dengan mengambil kira pakaian yang dipakai, yang sedang dibasuh dan yang tersidai untuk kering. Bayi memerlukan baju sarung seluruh badan, singlet, seluar panjang, seluar pendek, sarung tangan, sarung kaki, pelapik dada and topi pelindung matahari.

Baju perlu mempunyai bukaan yang sesuai supaya mudah dipakaikan dan dibuka. Belilah pakaian dalam fabrik asli dan elakkan yang ada label keras yang boleh mengguris.

Bayi anda juga akan memerlukan tuala mandi dan banyak kain flanel.

Lampin

Lampin terdapat dalam bentuk kain, bentuk pakai-buang dan bentuk yang mempunyai unsur kedua-dua kain dan pakai-buang. Anda perlukan beberapa helai daripada setiap jenis tersebut untuk menampung keperluan bayi anda.

Lampin kain – kelebihan lampin kain adalah, anda hanya perlu membelinya sekali untuk digunakan berkali-kali. Lampin ini tahan lama, bahkan mungkin tahan sehingga bayi anda sudah terlatih untuk buang air di tandas. Lagipun, lampin jenis ini berangin kerana tiada lapisan kalis air seperti pada lampin pakai-buang. Walau bagaimanapun, lampin kain perlu direndam, dibasuh dan dikeringkan. Ini memerlukan masa dan kemudahan anda. Anda juga perlu membeli pin penyemat untuk mengukuhkan pemakaian lampin, alas lampin, baldi dengan penutup yang ketat untuk merendam, dan pensteril lampin.

Lampin pakai-buang – jenis ini lebih mahal pada jangka masa panjang tetapi berbaloi disebabkan kemudahan yang terdapat padanya. Anda tidak perlu menukar lampin ini sekerap lampin kain kerana kemampuannya untuk menampung lebih. Ia juga amat memudahkan kerja menukar lampin. Biasanya, lampin pakai-buang terdiri daripada tiga lapis – alas sehala, alas tebal lembut yang menyerap kelembapan, dan balutan luar yang kalis air.

Lampin semua-dalam-satu – ini versi lampin pakai-buang yang diperbuat daripada kain. Balutan yang kalis bocor dijahitkan pada lampin kain. Lampin jenis ini boleh dibasuh dan diguna semula tetapi lambat kering.
Lampin poket – ini sama seperti lampin semua-dalam-satu, kecuali balutan tidak dijahit pada lampin. Sebaliknya, lampin diselitkan ke dalam balutan yang bertindak seperti poket. Jadi, anda cuma perlu menukar dan membasuh selitan-selitan itu.

Perjalanan

Bayi anda akan memerlukan tempat duduk kereta bayi atau kapsul bayi untuk perjalanannya pulang dari hospital. Jika tidak, anda boleh juga membeli tali penahan kanak-kanak yang oleh diubahsuai supaya dapat digunakan daripada peringkat bayi hingga ke peringkat ia mula berjalan.
Jika keadaan kewangan kurang mengizinkan, anda bolehlah dapatkan tempat membawa bayi yang terpakai, tetapi pastikan semua komponennya lengkap dan berfungsi.

Peralatan lain

Sebuah meja untuk digunakan waktu menyalin lampin atau pakaian bayi amat perlu bagi mengurangkan ketegangan otot belakang dan bahu anda. Selain meja, anda boleh juga gunakan mana-mana permukaan rata yang sesuai tingginya. Terdapat meja persalinan bayi yang dilengkapi rak-rak di bawahnya untuk menyimpan keperluan bayi seperti pin dan kelengkapan mandi.

Sewaktu mandi, besen bayi berbentuk condong yang mempunyai pencegah gelincir akan membuatkan persekitaran lebih selamat. Selain daripada memastikan kepala bayi sentiasa di atas paras air, ia juga mengelak bayi daripada tergelongsor ke bawah.

Jika anda memberi bayi susu dalam botol, dapatkan lebih kurang enam botol dan puting. Walaupun anda memberi bayi susu ibu, botol masih diperlukan untuk susu yang diperah. Untuk mensteril, gunakan sama ada periuk besar untuk merebus atau unit pensteril.

Tatkala anda keluar berjalan-jalan dengan bayi, gunakan beg yang direkabentuk khas bagi menyimpan susu supaya tetap sejuk dan air kekal panas sehingga beberapa jam.

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com