Login | Register
Share |
Join us at The Power of “Interactive” Play Parenting Workshop Sign up NOW!

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Cergas dan sihat

Jika kehamilan anda bebas daripada komplikasi, anda bolehlah lakukan senaman pada tahap tertentu sepanjang tempoh kehamilan. Anda perlu memilih rutin yang sesuai, atau jika selama ini anda telah mempunyai suatu rutin, mungkin anda perlu mengubahsuainya. Dapatkan nasihat doctor tentang apa yang paling sesuai dengan situasi anda.

Kebaikan

Senaman yang dilakukan secara nalar dapat menguatkan otot dan membina stamina, yang seterusnya menyediakan anda untuk menghadapi tekanan fizikal proses penghamilan dan selanjutnya peranan anda sebagai ibu. Otot belakang yang kuat turut mengurangkan sakit belakang yang muncul dengan membesarnya perut anda.

Tambahan lagi, senaman dapat mengelakkan pertambahan berat badan yang berlebihan sewaktu kehamilan, justeru itu anda akan dapat mengembalikan bentuk badan anda dengan lebih cepat selepas kelahiran bayi.

Keadaan anda yang sentiasa aktif akan meningkatkan kelancaran peredaran darah dan ini membantu mengurangkan kejadian sembelit, kejang kaki dan buasir. Juga, anda akan berasa seronok kerana anda tahu anda sedang melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi anda dan bayi anda.

Senaman yang disyorkan

  • Senaman lantai pelvik bagi menguatkan otot lantai pelvik yang menampung uterus, pundi kencing dan usus. Ini akan mengurangkan risiko inkontinens urin.
  • Berenang
  • Berjalan atas tanah rata
  • Berbasikal dengan basikal pegun
  • Senaman pergerakan mudah, teknik pernafasan dan dan pengrehatan

Tanda amaran untuk berhenti

Jika anda mengalami mana-mana gejala berikut, hentikan senaman segera dan rujuk kepada doktor:

  • Pendarahan vagina
  • Sesak nafas
  • Pening
  • Jantung berdebar
  • Kabur penglihatan
  • Kejang otot
  • Cecair meleleh dari vagina

Senaman yang perlu dielakkan

Elakkan mana-mana aktiviti yang mengandungi risiko trauma atau jatuh seperti:

  • Sukan lasak seperti judo dan bola keranjang
  • Menunggang kuda
  • Senaman yang melibatkan anda berbaring, terutamanya selepas 16 minggu kehamilan, kerana ini boleh mengekang aliran darah kepada bayi anda
  • Aktiviti bawah air seperti menyelam

Langkah beringat

Jika anda dalam keadaan tidak aktif, mulakan rutin senaman secara beransur-ansur dan setiap minggu tambahlah masa bersenam itu sedikit demi sedikit, sehinggalah anda mencapai lebih kurang 30 minit senaman sehari. 

Pakai pakaian yang longgar dan selesa. Gunakan kasut yang tegap dan tapaknya tidak licin. Elakkan daripada bersenam hingga letih, kerana tatkala anda bersenam, aliran darah berpaling arah dari organ dalaman anda untuk membekalkan oksigen yang lebih kepada otot dan paru-paru anda. Semakin kuat senaman yang dilakukan, semakin besar perubahan aliran darah ini, mengakibatkan kekurangan bekalan oksigen kepada bayi di dalam uterus.

Senaman menyebabkan naiknya suhu badan. Jangan biarkan badan anda mencapai panas melampau kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada bayi. Minum banyak air supaya sentiasa dalam keadaan cukup air. Kurangkan tahap senaman anda pada hari-hari panas. Sebagai ganti, pilihlah untuk berjalan-jalan di dalam kawasan tertutup yang berhawa dingin. Jangan bersenam tatkala anda tidak sihat.

Yang utama, ikutilah isyarat daripada badan anda. Jika pada mana-mana hari tertentu anda berasa tidak berminat untuk bersenam, maka tinggalkanlah daripada lakukannya.

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com