Anda di sini: Laman Utama › Artikel Bahasa Malaysia
Dari Hospital Ke Rumah
Anda pasti semua keperluan bayi telah lengkap dan anda telah bersedia menanti ketibaan si comel? Mungkin tidak!
Bilik bayi telah bersedia, dengan putaran muzik pada kot bayi, lampin tersusun kemas di penjuru bilik, kelengkapan dandanan bayi dan tuala di dalam bakul kecil, kad imbas dan buku bayi tersusun di meja bacaan.
Anda telah membaca buku tentang penjagaan bayi dan cabaran selepas kelahiran dan telah menghabiskan zaman kehamilan membayangkan pulang ke rumah bersama bayi. Namun begitu, anda mungkin tidak bersedia untuk menghadapi perubahan mendadak dan kitaran emosi yang mungkin menyusul apabila anda membawa bayi pulang buat kali pertama.
Gambar yang diambil 15 tahun dulu selepas melahirkan anak sulung saya menceritakan segalanya – meskipun raut wajah penuh kegembiraan, namun jauh di sudut hati sewaktu saya melangkah dengan berhati-hati mendukung erat si comel meninggalkan hospital berasa bagaikan menjejakkan kaki ke bulan buat kali pertama. Gambar itu jelas membayangkan pelbagai perasaan dan kekeliruan setiap wanita yang baru bergelar ibu. Walaupun matahari terus memancar, burung tetap bersiul dan orang di sekeliling masing-masing meneruskan kehidupan, setiap wanita menyedari kehidupannya pasti berubah untuk selamanya kerana beliau kini bergelar ibu.
Perkara pertama yang anda mula sedari ialah terlalu banyak yang perlu anda lakukan. Tidak kira betapa lengkap persiapan anda, anda pasti terkejut untuk mendapati yang masih banyak perkara yang perlu dilakukan setelah bayi dilahirkan.
Jika anda sedang menanti kelahiran bayi tidak lama lagi, ikuti panduan berikut untuk menghadapi minggu pertama yang penuh kekeliruan (Tapi ingat, perkara yang tidak diduga mungkin berlaku bila-bila masa!)
Di hospital:
- Bagi kelahiran normal tanpa komplikasi, ibu dan bayi biasanya dibenarkan pulang pada hari berikutnya. Jika anda atau bayi anda disyaki mengalami jangkitan atau sebarang komplikasi, anda mungkin ditahan untuk pemantauan selama 2 atau 3 hari. Ibu-ibu yang bersalin melalui pembedahan Cesarean memerlukan 3 hari untuk sembuh sebelum dibenarkan pulang.
- Selepas bersalin, samada secara normal atau kaedah C, anda dinasihatkan untuk berjalan beberapa minit untuk melancarkan perjalanan darah anda. Jalan dengan perlahan dan duduk atau baring jika anda merasa pening atau pitam.
- Bayi anda biasanya akan diserahkan kepada anda dalam masa satu jam untuk diberi susu. Setengah hospital menyediakan katil bayi supaya bayi dapat tidur di sebelah katil ibu. Ada juga hospital menempatkan bayi di bilik penjagaan bayi supaya ibu dapat berehat.
- Jururawat akan menghantar bayi anda untuk diberi susu pada keesokan hari sebelum memandikan bayi tersebut. Bayi akan didandan dan disediakan untuk dibawa pulang (kecuali jika anda atau bayi anda perlu ditahan untuk pemantauan).
- Sebelum pulang, anda perlu menyelesaikan bayaran hospital untuk mendapatkan dokumen pengesahan keluar hospital. Simpan dokumen tersebut dengan teliti kerana ia diperlukan untuk mendaftar bayi anda di Jabatan Pendaftaran Negara.
Setelah sampai rumah:
- Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari tempat yang selesa untuk menyusu. Setengah ibu suka menyusu secara duduk , sementara setengahnya lebih gemar menyusu dalam keadaan berbaring. Anda perlu memastikan posisi kegemaran anda sebelum menentukan tempat anda akan menyusu.
- Keadaan mungkin tidak terurus untuk beberapa hari pertama pulang ke rumah - bayi anda mungkin menangis atau tidur sepanjang masa. Ini mungkin membimbangkan ramai ibu baru. Bayi kecil akan tidur banyak dan akan menangis jika lapar, basah, terlalu sejuk atau panas atau tidak selesa. Anda tidak perlu bimbang kecuali jika bayi menangis secara tidak henti-henti.
- Anda mungkin merasa sakit-sakit di seluruh tubuh. Ini adalah proses biasa penyembuhan. Anda juga mungkin mengalami kesakitan teruk seakan bersalin. Ia sebenarnya proses pengecutan rahim ke saiz asalnya.
- Jika anda telah menjalani episiotomi, dapatkan pelampung mandi kanak-kanak untuk duduk semasa berpantang. Pastikan kawasan episiotomi bersih dan kering untuk mempercepatkan penyembuhan. Banyakkan minum air dan mengambil makanan yang kaya serat untuk mengelakkan sembelit yang akan menyakitkan bahagian luka semasa membuang air.
- Kawan-kawan dan saudara mara tentunya teringin nak jumpa bayi anda – jika anda penat, jelaskan sahaja kepada mereka. Ini adalah tempoh rehat anda yang diwajibkan!
Bulan pertama:
- Bimbang kerana anda tidak jatuh cinta pandang pertama pada bayi anda? Jangan risau, bukan semua ibu merasakan sedemikian! Anda akan merasakan kemesraannya setelah menghabiskan lebih masa bersama bayi anda.
- Tugas anda semakin bertambah, samada menyediakan makanan, mencuci pakaian, mengemas rumah, membasuh lampin bayi dan lain-lain. Jika ahli keluarga tidak dapat membantu, minta bantuan dari kawan, dapatkan pembantu rumah atau pembantu sewaktu berpantang. Ini akan memberikan lebih masa untuk anda menjaga bayi dan diri anda sendiri.
- Lebih mudah jika bayi tidur sebilik bersama ibu selagi ia masih menyusu. Apabila tidur bersama, anda tidak perlu bangun dari katil setiap kali ingin menyusu. Ini memberikan lebih masa untuk anda tidur.
- Jika anda berhasrat untuk kembali bekerja selepas berpantang, anda perlu memerah susu dan menyimpannya di dalam peti ais. Jangan lupa untuk menanda setiap botol dengan tarikh simpanan supaya ia dapat dikeluarkan mengikut turutan yang betul.
- Menjelang penghujung bulan, anda perlu mengadakan jadual untuk mengelakkan kelam-kabut apabila bekerja semula. Jika perlu, lakukan percubaan untuk mengetahui masa yang diambil untuk bersiap pada waktu pagi.







