Anda di sini: Laman Utama › Artikel Bahasa Malaysia
Ketidakselesaan dan kebimbangan biasa dalam kehamilan
Kehamilan membawa banyak perubahan kepada badan anda. Berikut adalah beberapa contoh ketidakselesaan yang biasa timbul ketika hamil, puncanya serta apa yang dapat anda lakukan untuk menanganinya.
Sakit belakang
- Berlaku pada bulan-bulan terkemudian.
- Hormon-hormon kehamilan mengendurkan ligamen sebagai persediaan untuk kelahiran. Ini menjadikan pelvik tidak stabil dan sakit. Lagipun, uterus yang berat mengubah pusat gravity anda, membuatkan badan anda menyendeng ke belakang dan dengan itu otot belakang anda terpaksa bertindak menahan lebih kuat daripada biasa.
- Pakailah kasut bertumit rendah. Jangan angkat barang yang berat dan jaga postur anda.
Sembelit
- Berlaku pada bulan-bulan terkemudian.
- Progesteron melambatkan fungsi usus. Pengambilan suplemen zat besi turut menyumbang kepada sembelit.
- Ambillah diet tinggi-serat dalam roti bijian penuh, bran, buah-buahan dan sayur. Minum banyak air dan bersenamlah lebih sedikit.
Pening kepala
- Berlaku pada bulan-bulan awal dan akhir.
- Disebabkan tekanan darah rendah akibat pembuluh darah yang mengendur dan tahap rendah zat besi.
- Ambillah suplemen zat besi. Jangan pakai pakaian ketat dan jangan berdiri terlalu lama. Elakkan daripada keadaan yang panas dan bilik yang pengap.
Keinginan dan rasa mual terhadap makanan
- Boleh berlaku pada mana-mana waktu sewaktu hamil.
- Hormon memberi kesan kepada deria rasa di lidah.
- Sentiasa pastikan diet tetap seimbang, tak kira betapa kuatnya keinginan atau rasa mual anda terhadap mana-mana makanan. Pilih hidangan yang kecil-kecil. Alihkan minda anda daripada memikirkan tentang makanan dengan melakukan aktiviti seperti berjalan atau membaca. Jika keinginan timbul terhadap perkara yang pelik-pelik, contohnya mengidam untuk makan tanah, maklumkan kepada doktor.
Kerap kencing
- Berlaku pada bulan-bulan awal dan akhir.
- Disebabkan perubahan hormon dan tekanan uterus pada pundi kencing.
- Elakkan daripada berdiri terlalu lama. Jika anda merasakan sakit perit, beritahu doktor.
Pedih hulu hati atau senak
- Biasanya berlaku pada bulan-bulan terkemudian.
- Progesteron dan uterus yang telah membesar menyempitkan perut, yang akibatnya asid gaster tertolak ke atas.
- Jagalah diet anda dengan mengambil makanan yang sedikit dengan kerap, serta minumlah banyak susu. Elakkan makanan berempah. Tatkala berbaring di atas katil, tinggikan bahagian atas badan anda bagi mengelak asid daripada naik ke dada. Ambil antasid sekiranya perlu.
Gatal
- Dirasa pada mana-mana peringkat kehamilan.
- Mungkin disebabkan masalah perubatan seperti jangkitan kandida, trichomoniasis dan diabetes. Kurang penjagaan kebersihan juga boleh mengakibatkan gatal.
- Maklumkan kepada doktor anda untuk memastikan penyebabnya bukan masalah perubatan. Mandi dengan air dingin dan pakai pakaian daripada kain kapas. Jaga kebersihan.
Kejang kaki
- Timbul pada bulan-bulan akhir.
- Boleh disebabkan tekanan pada pembuluh darah atau pengambilan banyak kalsium oleh bayi.
- Lenturkan jari-jari kaki ke atas dan urut perlahan-lahan pada otot yang terlibat.
Rasa mual di pagi hari (Morning sickness)
- Berlaku pada bulan-bulan awal.
- Akibat tindak balas badan anda kepada hormon.
- Jaga diet anda dan makan sedikit-sedikit dengan kerap. Anda juga boleh cuba makan makanan yang ringkas, seperti biskut kering atau roti bakar pada waktu pagi, sebelum memulakan hari anda. Jika keadaan bertambah buruk, beritahu doktor anda.
Buasir
- Terjadi pada bulan-bulan terkemudian.
- Berat badan hamil dan sembelit meningkatkan tekanan pada rektum.
- Ambillah langkah untuk mencegah sembelit. Gunakan krim atau supositori preskripsi. Sedikit ais dibalut dengan kain lembut jika diletakkan di bahagian yang terlibat boleh mengurangkan sakit dan bengkak.
Masalah tidur
- Berlaku pada bulan-bulan awal dan akhir.
- Penyebabnya banyak, termasuk rasa risau, gatal, kejang, pedih hulu hati, kerap kencing dan pergerakan bayi.
- Tenangkan diri dengan teknik-teknik menghilangkan stres atau minum susu suam. Anda juga boleh berbincang dengan pasangan anda tentang kerisauan anda.
Inkontinens urin
- Timbul pada bulan-bulan terkemudian.
- Disebabkan tekanan uterus pada pundi kencing.
- Pakailah pelapik pelindung dan lakukan senaman lantai pelvik.
Bengkak pada tangan dan kaki atau edema
- Biasanya berlaku pada bulan-bulan terkemudian.
- Akibat retensi cecair disebabkan hormon. Mungkin juga disebabkan masalah perubatan seperti praeklamsia.
- Rehat di atas katil dengan meninggikan kaki anda. Jangan pakai pakaian yang ketat dan pakailah kasut yang selesa.
Lelehan vagina
- Boleh berlaku pada mana-mana peringkat kehamilan, dan bertambah banyak pada peringkat terkemudian.
- Disebabkan sekresi yang bertambah banyak daripada dinding uterus dan serviks.
- Jaga kebersihan diri anda. Pakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas. Elakkan daripada memakai pakaian dalam dan seluar yang ketat. Jangan gunakan sabun untuk mencuci bahagian kemaluan. Lelehan boleh jadi disebabkan jangkitan yis, dengan itu rujuklah kepada doktor anda.
Vena varikos
- Muncul pada bulan-bulan pertengahan hingga hujung.
- Progesteron mengendurkan pembuluh darah yang mungkin menyebabkan vena menjadi berpecah-pecah. Tambahan pula, uterus yang telah membesar memberi tekanan pada pembuluh darah dan ini membawa kesan rumit yang menular ke vena kaki.
- Elakkan daripada berdiri lama-lama. Tinggikan kedudukan kaki ketika duduk. Pakai stoking panjang khas yang membantu dalam keadaan ini.
Related links:







