Login | Register
Share |
Join us at The Power of “Interactive” Play Parenting Workshop Sign up NOW!

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Makan dengan bijak

Sememangnya anda akan berasa cukup tergoda untuk makan sepuas-puasnya makanan kegemaran anda kerana kalori yang berlebihan itu dapat diselindungkan di sebalik kehamilan anda. Namun ingatlah bahawa berat badan yang sihat boleh memastikan kehamilan dilalui dengan lebih selesa di samping dapat mengurangkan risiko komplikasi seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Anda tidak perlu makan untuk dua orang dari segi kuantiti. Sebaliknya, makanlah untuk dua orang dari segi khasiat atau nutrisi.

Pastikan bahawa anda memperoleh diet yang seimbang yang terdiri daripada protein, lemak dan karbohidrat. Tambahan kepada ini, anda perlukan banyak makanan yang kaya dengan serat.

Diet harian

Diet harian anda harus mengandungi yang berikut:

  • Susu dan hasil tenusu – 1 hingga 2 hidangan
  • Nasi, bijirin atau roti bijian penuh – 4 hidangan
  • Daging, ayam, telur, ikan, keju atau kekacang – 2 hidangan
  • Sayur berdaun hijau – 2 hidangan
  • Buah-buahan dan sayur lain– 2 hingga 3 hidangan
  • Air – 6 hingga 8 gelas

Satu hidangan disukat seperti berikut:
—————————————————————————————————-
Susu dan hasil tenusu             1 gelas susu
                                             1 keping keju
                                             1 cawan yogurt
—————————————————————————————————-
Nasi atau pasta                       ½ cawan (telah dimasak)
—————————————————————————————————-
Roti                                       1 keping
—————————————————————————————————-
Bijirin sedia dimakan                ¾ cawan
—————————————————————————————————-
Daging, ayam, ikan                  Lebih kurang 75 - 100g
—————————————————————————————————-
Telur                                      1 - 2 telur
—————————————————————————————————-
Legum(kekacang, kacang       ½ cawan (telah dimasak)
dal,kacang peas kering)   
—————————————————————————————————-
Sayur                                     ½ cawan
—————————————————————————————————-
Buah-buahan                          1 potong (tembikai, papaya, nanas)
                                             1 limau/epal/pisang
—————————————————————————————————-

Tidak perlu menambah garam lagi pada makanan yang telah dimasak. Jika boleh, elakkan makanan yang berempah dan yang mengandungi terlalu banyak halia. Anda perlu mengurangkan pengambilan makanan bergula. Teh dan kopi boleh diminum dengan kadar sederhana, iaitu tidak lebih daripada tiga cawan sehari.

Asid folik

Asid folik digunakan untuk membina sel darah merah. Sewaktu kehamilan, keperluan anda terhadap asid folik berganda, kerana ketika ini berlaku pertambahan dalam pembentukan darah serta pertumbuhan pesat tisu bagi anda dan bayi anda. Sebaik-baiknya, anda harus memastikan pengambilan asid folik yang mencukupi sebelum pun anda mula hamil. Dengan cara ini, asid folik anda dapat dijamin mencukupi pada awal kehamilan untuk pembentukan otak dan tulang belakang bayi.

Asid folik boleh didapati dalam sayur berdaun hijau, buah-buahan segar, legum dan kacang. Masaklah sayur hijau itu sekejap sahaja atau makanlah sayur itu mentah-mentah, kerana memasaknya berlebihan akan memusnahkan kandungan asid foliknya. Terdapat juga banyak makanan yang diperkaya dengan asid folik,seperti roti, bijirin sarapan dan minuman susu.

Diet harian anda mungkin tidak mengandungi asid folik yang mencukupi. Rujuklah kepada doktor untuk mengetahui dos yang disyorkan. Doktor mungkin akan memberi preskripsi multi-vitamin pranatal yang mengandungi amaun asid folik yang diperlukan.

Zat besi


Zat besi satu lagi nutrisi yang diperlukan sewaktu kehamilan. Ia membantu sel darah merah mengangkut oksigen ke seluruh badan. Pengambilan zat besi yang berlebuhan, terutamanya suplemen zat besi, boleh mengakibatkan sembelit. Oleh yang demikian, anda hendaklah bergantung kepada zat besi yang terdapat di dalam makanan, seperti hati, ginjal, daging lembu, sardin, telur, buah kering, badam, roti bijian penuh, brokoli, sayur berdaun hijau dan rumpai laut.

Walau bagaimanapun, jika anda perlukan suplemen zat besi untuk mendapatkan zat besi yang mencukupi, anda bolehlah menggabungkan pengambilannya dengan vitamin C untuk membantu dalam penyerapan zat besi itu. Sebagai tambahan, makanan yang kaya dengan serat dapat mengurangkan kejadian sembelit.

Rujuk kepada doctor

Memandangkan organ-organ bayi anda yang sedang berkembang itu tersangat halus dan lemah, jangan mengambil apa-apa suplemen tanpa merujuk kepada doktor. Pengambilan suplemen akan memasuki darah yang mengalir di dalam bayi dan boleh mengakibatkan kerosakan yang kekal.

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com