Login | Register
Share |

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Masa Mandi Si Comel!

Bayi gemarkan air. Apa tidaknya, hampir 9 bulan mereka berenang dalam kolam amnion sebelum dilahirkan. Mari bergembira bersama si Comel pada waktu mandi!

Setengah ibu baru mendapati masa memandikan bayi amat mengerunkan kerana tali pusat bayi masih belum tercabut dan agak sukar untuk mengawal bayi terutamanya ketika bayi basah dan licin. 

Namun begitu, masa memandikan bayi akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi kebanyakan ibu lama-kelamaan. Bukan sahaja bayi akan bersih dan berbau segar tetapi ia juga peluang untuk merapatkan jalinan kemesraan ibu dan anak.

Berikut 3 langkah terbaik untuk masa yang menyeronokkan:

  • Bersiap sebelum bermula.  Sediakan tuala, pakaian bersih, produk penjagaan bayi, napkin atau lampin bayi. Tutupkan pendingin udara atau kipas dan pastikan barang keperluan berada berdekatan sebelum memandikan bayi. 
  • Jangan tinggalkan bayi bersendirian dalam bilik air. Bayi tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan walaupun hanya beberapa saat. Mereka boleh lemas dalam air yang hanya 15 sentimeter. Jika menerima panggilan telefon atau terpaksa beredar ke dapur, tualakan bayi dan bawa bersama anda. 
  • Rilaks dan berseronok bersama. Bayi akan merasa tertekan jika anda cuba melakukan banyak perkara pada satu masa seperti memasak, bercakap di telefon, memperlahankan televisyen, mengeluarkan pakaian dari mesin basuh dan lain-lain. Semuanya boleh dilakukan kemudian. 

Terdapat banyak buku penjagaan bayi yang memberikan penerangan terperinci tentang cara yang betul untuk memandikan bayi; biasanya bermula dengan membasuh muka dan rambut bayi sebelum memasukkan bayi ke dalam tab mandi. Tiada cara yang betul atau salah, dan anda akan melakukannya dengan mudah lama-kelamaan.
 
Yang penting ialah perkara asas seperti berikut:

Sediakan air suam

Walaupun dalam cuaca panas, bayi perlu dimandikan dalam air suam kerana tubuh bayi menjadi sejuk dengan cepat. Gunakan tangan anda untuk merasa suhu air sebelum memasukkan bayi ke dalam tab.

Sabun bayi

Penggunaan sabun tidak diwajibkan, tetapi ia memberikan bau segar yang berpanjangan pada bayi. Gunakan sabun bayi hipo-alergi dan sentiasa berhati-hati supaya tidak terkena pada mata bayi.

Pegang bayi dengan betul

Cara yang betul untuk memegang bayi semasa mandi ialah mengendongnya dengan satu tangan dan membiarkan satu tangan lagi bebas untuk menyiram air, menggosok sabun dan mencapai tuala kering apabila selesai memandikan bayi. Ini memerlukan sedikit latihan tetapi ia akan menjadi mudah setelah anda sudah membiasakan diri.

Jangan mandikan bayi terlalu lama

Bayi sememangnya merasa seronok ketika mandi, tetapi 5 ke 8 minit sudah mencukupi untuk bergembira sebelum air mulai sejuk. Cara untuk mengetahui air sudah sejuk ialah apabila bayi mula bersin!

Keringkan bayi sebelum mengenakan pakaiannya

Keringkan bahagian belakang telinga, di celah jari, ketiak, dagu dan bahagian di antara perut dan pangkal peha sebelum mengenakan pakaian untuk mencegah ruam bayi.

Urut bayi anda

Setelah memakaikan lampin, luangkan sedikit masa untuk sesi mengurut sebelum mengenakan pakaian untuk bayi. Cukup dengan hanya menggosok losen atau minyak bayi di seluruh kaki atau tubuh untuk beberapa minit. 

Berapa kali sehari?

Sesetengah ibubapa bertegas yang bayi mesti mandi satu kali sehari, biasanya pada waktu pagi, diikuti dengan mengelapnya dengan kain basah pada waktu petang untuk mengelakkannya dari demam. Ada juga yang memandikan bayi dua kali sehari atau lebih kerap semasa cuaca panas apabila bayi berpeluh dan melekit. Ikutilah keadaan semasa dan keperluan bayi – anda lebih memahami si comel anda!

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com