Anda di sini: Laman Utama › Artikel Bahasa Malaysia
Mengurus kehamilan anda
Kehamilan menghasilkan peningkatan pada aras beberapa hormon di dalam badan anda, terutamanya estrogen dan progesteron. Progesteron mengendur otot dan ligamen untuk memberi ruang kepada bayi yang sedang membesar. Ia juga menghindar uterus anda daripada kontraksi sehinggalah bayi sempurna perkembangannya. Estrogen pula berperanan dalam tumbesaran saiz uterus dan payu dara, di samping menyumbang kepada retensi cecair.
Hormon-hormon ini amat penting bagi kelancaran kehamilan, namun ia juga merupakan penyebab kepada pelbagai ketidakselesaan yang mungkin anda rasakan.
Pertambahan berat badan
Pertambahan berat badan yang normal bagi wanita bersaiz sederhana sewaktu hamil adalah antara 11kg dengan 16kg. Pertambahan berat sepatutnya lebih kurang seperempat daripada berat badan anda sebelum hamil. Berdasarkan pertambahan 11 – 12 kg, lebihan berat tersebut teragih seperti berikut:
- Bayi - 3.5kg
- Plasenta - 0.5kg
- Cecair amnion - 1kg
- Pertumbuhan uterus - 1kg
- Peningkatan dalam bekalan darah - 1kg
- Tisu payu dara - 0.5 - 1kg
Tanyalah kepada doktor anda tentang banyak mana berat anda harus bertambah sewaktu kehamilan. Berat anda akan direkodkan pada semua perjumpaan antenatal bagi memastikan ia sentiasa berada pada paras yang normal.
Perubahan pada payu dara
Hormon kehamilan menjadikan payu dara anda membesar, sebagai persediaan untuk penyusuan. Payu dara menjadi lembut dan membesar dan dengan itu memerlukan kutang yang dapat menampungnya dengan baik. Ada baiknya jika anda mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli kutang khas bagi wanita hamil, yang direkabentuk khas dengan tali bahu yang lebar dan serkup yang mengambil kira perubahan yang berlaku pada payu dara anda.
Gunakan air suam untuk membasuh payu dara dan puting anda bagi mengelakkannya menjadi kering. Puting yang rata atau terbalik bukan penghalang kepada penyusuan, kecuali jika ia terbalik secara melampau. Maklumkan kepada doktor anda pada perjumpaan yang akan datang agar anda dapat dibantu bagi mengelak kesulitan yang mungkin timbul kemudian nanti.
Penjagaan gigi
Gigi dan gusi anda menjadi bertambah sensitif kepada kuman sewaktu hamil, justeru adalah penting menjaga kesihatan gigi. Kebiasaan menggunakan flos dan menggosok gigi dua kali sehari serta pemeriksaan oleh doktor gigi secara berkala perlu diteruskan. Jika penjagaan gigi diabaikan, komplikasi pergigian yang mungkin timbul boleh menjejas perkembangan janin.
Beritahu doktor gigi anda yang anda hamil. Cara ini dapat memastikan rawatan dijadualkan pada waktu-waktu yang sesuai bagi mengurangkan kemungkinan risiko terhadap bayi.
Kebersihan am
Mandi setiap hari dan keraplah basuh tangan anda bagi meminimumkan risiko infeksi. Infeksi penting diawasi sewaktu hamil. Infeksi kulit dan ruam terutamanya ulser, bisul dan jangkitan kuku amat berbahaya kepada anak yang dikandung. Rawatan segera perlu.
Senaman
Senaman sewaktu hamil dapat melegakan bahan dan minda. Ia juga meringankan banyak masalah biasa berkaitan kehamilan kerana ia meningkatkan kefungsian paru-paru dan peredaran darah.
Berenang ialah senaman yang ideal. Aktiviti lain yang sesuai adalah berjalan dan senaman pernafasan. Anda dinasihati supaya jangan melakukan senaman yang keterlaluan dan yang boleh mengakibatkan anda jatuh atau cedera. Ini termasuklah sukan seperti bola keranjang. Bagi bulan-bulan yang penghujung pula, elakkan senaman yang melibatkan imbangan, seperti berbasikal.
Merokok
Merokok menghasilkan karbon monoksida di dalam badan dan racun ini dibawa di dalam darah ibu dengan mendahului oksigen. Hasilnya, bayi kekurangan oksigen dan nutrisi. Merokok turut menurunkan aras hormon yang diperlukan untuk menjaga kehamilan untuk sampai ke tempoh sempurna dan dengan itu boleh mengakibatkan kelahiran bayi pramasa.
Jika anda berada dekat dengan orang yang merokok, anda dikatakan merokok secara pasif. Kesan buruknya sama seperti di atas.
Keazaman yang tinggi diperlukan untuk berhenti merokok. Jika anda seorang perokok, anda perlukan bantuan dan sokongan. Berbincanglah dengan doktor anda tentang cara-cara untuk berhenti merokok. Juga, bincang dengan pasangan anda untuk mendapatkan sokongannya.
Alkohol
Alkohol berbahaya kepada anak yang anda kandung kerana ia akan sampai dari darah anda ke darah bayi. Akibatnya janin boleh menjadi cacat dan pertumbuhannya terencat.
Sebaik-baiknya janganlah minum alkohol langsung ketika hamil. Jika anda telahpun mengambilnya, maklumkan kepada doktor anda seawal mungkin supaya dia dapat mengawasi kesihatan bayi dengan lebih rapi.
Tekanan darah tinggi
Suatu gangguan yang khusus berlaku sewaktu kehamilan ialah praeklampsia, suatu keadaan yang mana wanita hamil menunjukkan dua atau lebih daripada gejala berikut:
- Tekanan darah tinggi
- Bengkak tangan dan kaki
- Protein dalam air kencing
Praeklampsia boleh membawa maut kepada kedua-dua ibu dan janin. Keadaan ini boleh menghalang bayi daripada mendapat darah dan oksigen yang mencukupi serta boleh merosakkan organ-organ ibu. Tambahan pula, praeklampsia boleh melarat menjadi eklampsia, suatu keadaan serius yang mana ibu boleh mengalami serangan sawan.
Jika anda mengalami tekanan darah yang lebih tinggi daripada aras normal, rehat atas katil boleh membantu mengurangkan tekanan. Kadang kala anda mungkin perlu tinggal di hospital supaya anda dan bayi dapat diawasi dengan lebih rapi. Cara untuk menyembuhkan praeklampsia hanyalah dengan melahirkan bayi. Dengan itu, doktor mungkin memutuskan untuk melaksanakan cetusan kelahiran awal .
Pendarahan ketika hamil
Pendarahan vagina ketika hamil banyak penyebabnya, ada yang lebih serius daripada yang lain. Apa jua penyebabnya, keadaan berkenaan perlu dilaporkan segera kepada doktor anda. Jika pendarahan berlaku dalam tempoh separuh pertama kehamilan, anda perlu menggunakan pad dan menunjukkannya kepada doktor. Pendarahan boleh jadi suatu tanda keguguran, namun tidak semestinya demikian.
Pendarahan dalam tempoh separuh kedua kehamilan perlu dianggap serius. Anda mesti terus pergi ke hospital.
Bekerja
Jika kehamilan anda jenis yang normal dan berisiko rendah serta kerja anda tidak begitu menekan atau banyak menggunakan kekuatan fizikal, anda bolehlah terus bekerja sehingga tiba waktu kelahiran bayi. Walau bagaimanapun, oleh kerana anda akan merasa bertambah letih dan sakit belakang menjelang hujung tempoh kelahiran, anda mungkin ingin mengambil cuti sebelum tarikh jangka kelahiran.
Seks ketika hamil
Seks ketika hamil adalah selamat dan boleh diteruskan hampir sepanjang tempoh kehamilan. Walau bagaimanapun, jika anda pernah mengalami keguguran atau cetusan kelahiran awal atau komplikasi lain, anda perlu mendapatkan pandangan doktor mengenainya.
Minat anda dalam berasmara akan berubah-ubah bergantung kepada keadaan fizikal dan emosi anda ketika hamil, kesan daripada hormon kehamilan. Keletihan pada trimester pertama dan ketiga ada kemungkinan menjejas minat anda, sementara pada trimester kedua anda mungkin lebih selesa dengan seks disebabkan keletihan berkurangan dan peningkatan saiz badan anda masih boleh dikendalikan.
Berpuasa
Anda boleh berpuasa sewaktu hamil kecuali jika ia menjadikan anda terlalu lemah ataupun terdapat komplikasi dalam kehamilan anda. Dalam keadaan demikian, ada baiknya anda berpuasa pada masa lain yang lebih sesuai.
Perjalanan
Pada amnya berjalan-jalan bepergian ketika hamil adalah selamat. Walau bagaimanapun, anda perlu jauh lebih patuh kepada peraturan keselamatan berbanding orang lain.
Tali pinggang keledar kenderaan mesti sentiasa dipakai, dengan tali pinggang riba diletakkan di bawah paras perut dan tali bahu diselimpang atas dada, di atas paras perut. Apabila berada di dalam bas atau kereta api, sentiasalah berpaut pada palang pemegang jika perlu bergerak ke bilik air. Dalam perjalanan jauh, berhentilah sekerap mungkin untuk berjalan-jalan dan melakukan senaman regangan bagi melancarkan peredaran darah.
Sebahagian syarikat penerbangan mensyaratkan surat doktor jika kehamilan anda lebih daripada 32 minggu.







