Login | Register
Share |

Stand to win a Gift Hamper worth RM250 when you join our Beautiful Boom Boom! Contest - Click here for details

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Penjagaan antenatal

Tempoh kehamilan dipenuhi dengan pergolakan fizikal dan emosi. Anda penting mendapatkan ilmu sebanyak mungkin tentangnya agar dapat melegakan sebarang kerisauan dan agar anda dapat membuat pilihan-pilihan yang berasaskan ilmu serta keputusan yang tepat bagi anda dan bayi anda. Di sinilah penjagaan antenatal memainkan peranan penting.

Penjagaan antenatal ialah penjagaan sebelum kelahiran bayi. Sebaik-baiknya, kedua-kedua anda dan pasangan anda mengambil inisiatif untuk mempelajari tentang kehamilan, berjumpa dengan doktor secara berkala dan menghadiri kelas-kelas antenatal. Mulakan seawal mungkin bagi memastikan kehamilan anda berkembang secara normal dan bagi mengenal pasti apa jua kemungkinan masalah.

Penjagaan diri

Jika anda syak anda hamil, anda dinasihati mengesahkannya seawal mungkin. Kesedaran bahawa anda hamil akan menggerakkan anda untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berwaspada, dari segi nutrisi yang baik, senaman dan kebersihan. Anda juga perlu berhati-hati terhadap perkara berikut:

  • pengambilan alkohol
  • merokok
  • inokulasi tertentu
  • dadah dan pengubatan
  • x-ray
  • pendedahan kimia
  • jatuh
  • aktiviti berbahaya seperti menyelam

Bacalah tentang kehamilan, pelahiran, kelahiran dan penjagaan bayi. Dengan berbekalkan ilmu, anda akan lebih yakin dalam membuat pilihan-pilihan tepat.

Pemeriksaan antenatal

Anda boleh mendapatkan penjagaan antenatal daripada seorang bidan atau doktor rawatan am di klinik tempatan. Anda juga boleh memilih untuk berjumpa dengan doktor (biasanya pakar obstetrik /pakar ginekologi) di hospital yang anda pilih untuk melahirkan bayi kelak.
Dari mula hinggalah ke minggu ke-28, anda akan berjumpa dengan doktor setiap empat minggu. Kemudian, pemeriksaan adalah sekali setiap dua minggu hingga minggu ke-36; selepas itu, sekali setiap minggu hinggalah kelahiran bayi.

Perjumpaan pertama biasanya mengambil masa yang panjang. Ia melibatkan:

  • Mengemukakan butiran riwayat perubatan anda dan keluarga anda
  • Membuat pengiraan tarikh anggaran kelahiran
  • Merekod ukuran tinggi dan berat anda
  • Memeriksa air kencing dan tekanan darah anda
  • Melakukan ujian darah bagi menentukan kumpulan darah dan hemoglobin
  • Melakukan ujian rutin bagi jangkitan seperti HIV yang boleh memberi kesan kepada anda dan bayi
  • Membincangkan masalah dan gejala
  • Mendapatkan nasihat tentang suplemen harian seperti asid folik
  • Mendapatkan nasihat lain berhubung pemakanan, kerja dan hal yang berkaitan


Pada perjumpaan-perjumpaan seterusnya, doktor akan memeriksa berat anda bagi memastikan ianya dalam lingkungan yang normal. Ujian akan dijalankan pada tekanan darah dan pada air kencing bagi mengesan protein dan untuk melihat tanda-tanda praeklampsia, suatu keadaan yang boleh terjadi pada wanita hamil dan berbahaya pada kandungannya. Wanita yang mengidap praeklampsia mengalami bengkak pada kaki dan tangan akibat retensi cecair.

Bagi memeriksa pertumbuhan bayi, doktor akan mengukur tinggi bonjol pada perut anda, yang juga dikenali sebagai fundus.

Selepas minggu ke-20, doctor akan turut memeriksa kedudukan bayi, degup jantungnya dan bilangan pergerakannya. Selepas minggu ke-32, doktor akan cuba mencari kedudukan bayi dengan merasa perut anda. Ini bagi memastikan bayi berada pada kedudukan yang betul apabila anda memasuki proses pelahiran nanti.

Sewaktu perjumpaan dengan doktor, ambillah peluang untuk menanyakan apa jua soalan yang ada pada anda dan bincangkanlah apa jua persoalan yang mungkin anda risaukan.

Kelas antenatal

Penyertaan dalam kelas-kelas antenatal adalah satu lagi jalan untuk anda mempelajari tentang kehamilan anda dan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi kelahiran bayi.

Anda akan mempelajari tentang apa yang berlaku kepada badan anda, perkara yang dijangka menjelang hujung kehamilan, bagaimana menyediakan diri untuk pelahiran dengan teknik pernafasan khusus dan bagaimana untuk meneran dan menahan daripada meneran. Kebanyakan kelas antenatal turut mengadakan sesi tentang penyusuan ibu dan manfaatnya. Suami anda juga akan diajar cara mengurut yang betul mengikut apa yang disyorkan oleh pakar pelahiran sebagai dapat mengurangkan sakit dan rasa cemas dalam peringkat pertama pelahiran.

Kemungkinan besar anda akan dibawa melawat wad pelahiran, nurseri dan tempat postnatal. Anda akan diberi gambaran kasar tentang apa yang akan berlaku pada hari kelahiran, apa yang doktor dan jururawat akan lakukan dan permintaan yang boleh anda kemukakan.

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com