Login | Register
Share |
Join us at The Power of “Interactive” Play Parenting Workshop Sign up NOW!

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Selamat Datang ke Alam Keibuan!

Mendirikan rumahtangga sememangnya tanggungjawab seumur hidup dengan asam garam tersendiri. Tetapi setiap ibu pasti setuju- pengalaman pulang ke rumah untuk berjumpa anak kesayangan adalah detik paling istimewa!

Alam keibuan bagaikan perjalanan yang dipenuhi pancaroba. Apa sahaja pengalaman yang dialami, yang kekal hanya satu – iaitu kepuasan daripada pemberian kasih sayang dan penjagaan kepada anak tersayang.

Cabaran-cabaran mungkin tidak dirasai pada awalnya. Pada mulanya, anda hanya berasa letih, kekurangan tidur, kekeliruan mengimbangi kehidupan baru dan menangani pelbagai nasihat yang tidak diingini. Dengan bebanan tanggungjawab yang begitu berat, anda mungkin tertanya-tanya kenapa anda membuat keputusan untuk bergelar ibu.

Tetapi itu hanya sementara sahaja. Bayi anda akan membesar dengan cepat sekali tanpa disedari. Tidak lama lagi, dia akan mula berjalan, berlari, bersekolah dan anda mungkin akan mula merindui bayi yang dipeluk dalam pangkuan semula. Dengan itu, nikmatilah masa bersama bayi dan usah risau dengan masalah lazim yang anda mungkin hadapi ketikaa bayi masih kecil, seperti:

1. Bayi asyik menangis!

Semua bayi menangis kerana itu sahaja cara mereka berkomunikasi. Keperluan bayi biasanya asas sahaja; mereka biasanya menangis kerana lapar, basah, tidak selesa, terlalu sejuk atau panas dan bosan. Tangisan bayi biasanya berhenti apabila keperluan mereka sudah diatasi. Tangisan yang tidak berhenti biasanya menandakan keperluan yang tidak ditangani atau kesakitan, seperti kembung perut.

Tip untuk ibu:
Bayi yang sering menangis boleh mematahkan semangat seseorang ibu. Apabila ia berlaku, bawa bertenang dan cari punca masalah satu demi satu. Mulakan dengan memberikan bayi susu, diikuti dengan menukar lampinnya dan kemudian mendukungnya. Jika anda sudah tidak tahan dengan tangisannya yang berpanjangan, letakkan bayi di sesuatu tempat yang selamat dan tinggalkan bilik itu seketika. Menangislah atau menjerit untuk melepaskan kerunsingan anda dan pulang kepada bayi anda setelah anda sudah kembali tenang.

2. Tidurlah, sayang!

Bayi mempunyai kitaran tidur yang berlainan daripada orang dewasa, oleh itu kebanyakan ibu baru mungkin mendapatinya sukar untuk menyesuaikan diri. Orang dewasa mempunyai kitaran tidur 90-minit yang terdiri daripada 75% tidur nyenyak dan 25% tidur REM (pergerakan mata pantas). Bayi pula mempunyai kitaran tidur yang lebih pendek iaitu 45 minit, yang terdiri daripada 20 minit tidur nyenyak dan 25 minit tidur REM.

Pada minggu-minggu pertama, bayi biasanya akan tidur banyak dan bangun lebih kurang setiap jam untuk menghisap susu. Ini akan memenatkan si ibu, terutamanya pada waktu malam ketika anda ingin tidur. Pada ketika ini, bayi belum pandai membezakan antara siang dan malam, jadi anda perlu melatihnya. Semasa menyusu pada waktu malam, malapkan lampu dan kekalkan persekitaran yang sunyi untuk mengalakkan bayi tidur semula setelah menghisap susu. Gaya tidur bayi akan menjadi lebih teratur pada bulan ketiga dan dia mungkin akan tidur dan bangun pada waktu yang sama seperti anda. Kitaran tidurnya juga akan berubah dan menjadi lebih panjang.

Tip untuk ibu:
Bendungkan bayi dengan sehelai kain yang besar supaya bayi berasa selamat, bagaikan dalam pelukan seseorang. Gunakan kain kapas yang dingin dan selesa supaya bayi dapat tidur dengan lebih nyenyak.

3. Masalah penjagaan anak

Setiap ibu berkerjaya akan menghadapi masalah penjagaan anak. Kebanyakan wanita bergantung kepada ibu atau mertua untuk menjaga bayi mereka, seringkali dengan bantuan pembantu rumah. Setengahnya pula bergantung hanya kepada pembantu rumah, sementara ada pula yang berhenti kerja untuk sementara waktu sehingga bayi membesar.

Tip untuk ibu:
Apabila mencari seseorang pengasuh,  anda dinasihati supaya tidak membuat sebarang perjanjian pada permulaan kerana anda perlu berasa selesa meninggalkan bayi anda dengannya. Cuba dahulu untuk beberapa hari sebelum membuat keputusan. Ini adalah penting kerana pengasuh akan menjadi tempat bermanja anak anda apabila anda tidak berada di sisi.

4. Mengimbangi jadual harian

Anda inginkan lebih daripada 24 jam dalam sehari? Dengan ketibaan bayi, anda berasa anda tidak mungkin menghabiskan segala tugasan harian, dengan pekerjaan, tanggungjawab rumahtangga dan menjaga bayi!

Tip untuk ibu:
Buatkan yang penting dahulu. Sediakan senarai mengikut kepentingan, dan cuba agihkan setengah tanggungjawab anda kepada orang lain. Usah risaukan perkara yang remeh dan tumpukan perhatian kepada perkara penting sahaja.

5. Urusan kewangan

Sebaik sahaja bayi anda dilahirkan, anda akan dikelilingi wakil jualan yang asyik menekankan mengenai kepentingan menyimpan wang untuk pendidikan anak, keperluan kesihatan dan kecemasan. Bukan itu sahaja, anda perlu berbelanja lebih untuk keperluan bayi seperti gaji pengasuh, barangan bayi, barangan keperluan harian dan lain-lain.

Tip untuk ibu:
Bayi anda sebenarnya tidak memerlukan barangan canggih atau mewah- dia hanya memerlukan kasih sayang anda! Bayi-bayi pada zaman dahulu tidak pernah memiliki barangan bayi seperti zaman ini, tetapi mereka tetap membesar dengan baik. Berikan susu badan untuk kurangkan belanja; ini bukan sahaja menjimatkan kos membeli susu bayi tetapi juga kos rawatan doktor kerana bayi anda pasti lebih sihat dan kuat.

6. Perasaan bersalah – bayangan setiap ibu

Anda berasa bersalah kerana kembali bekerja, berjumpa rakan-rakan untuk bersembang pada hujung minggu apabila anda sepatutnya bersama bayi, jika bayi lebih menghabiskan masa bersama pembantu rumah atau ibu anda, apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas bayi kerana kesilapan anda semasa mengandung dan lain-lain lagi. Setiap ibu pasti mempunyai naluri perasaan bersalah yang kuat.

Tip untuk ibu:
Buangkan perasaan bersalah itu. Hanya anda yang boleh membuat demikian. Para ibu boleh melakukan perubahan besar di rumah, di tempat kerja dan di mana-mana sahaja di dunia, tetapi mereka sering lupa nilai diri sendiri. Jadi, pergi nikmati spa atau minum kopi dan bersembang bersama rakan-rakan. Ketepikan masa untuk beriadah dan bergembira. Ibu yang gembira akan membesarkan anak yang riang.

7. Membuat perbandingan

Bila anak anda mula berjalan? Boleh bercakap? Kenapa anda anda asyik menangis? Adakah itu cara betul untuk menjaga anak? Jangan terperanjat apabila semua orang sering memberi komen ke atas gaya penjagaan anda atau fasa pembesaran bayi anda. Walaupun anda sudahpun melakukan yang terbaik, anda tetap akan berasa kecewa dan bimbang apabila seseorang memberi komen yang negatif.

Tip untuk ibu:
Ilmu adalah penting. Jika anda tahu membezakan antara mitos dan fakta, anda mudah mengenali yang mana satu komen yang bernas dan yang mana satu boleh diabaikan. Lebihkan membaca dan minta nasihat doktor jika perlu.

8. Nilai dan gaya keibubapaan: Ibu atau bapa?

Anda mementingkan disiplin, tetapi pasangan anda lebih suka bersenang-lenang. Atau mungkin pasangan anda suka mengikut struktur, tetapi anda pula tidak suka merancang. Mungkin anda pastikan bayi didukung apabila dia menangis, tetapi pasangan anda berasa ia tidak mengapa jika bayi dibiarkan menangis sekali-sekala. Pasangan dengan latarbelakang yang berlainan lazimnya akan mempunyai gaya penjagaan anak yang berlainan. Jikan tidak ditangani dengan bijak, ia akan mengakibatkan ketidakpuasan dan keretakan rumahtangga.

Tip untuk ibu:
Fikir secara positif. Nilai dan gaya pembesaran yang berlainan bermaksud anak anda boleh memperolehi kedua-duanya sekali. Kenapa harus menentangnya?

9. Mementingkan pasangan

Pada tahun pertama ketibaan bayi, anda mungkin akan terlampau sibuk dengan penjagaan bayi sehingga mengabaikan pasangan anda. Para bapa sering berasa diri mereka diketepikan apabila isteri asyik menjaga bayi sahaja.

Tip untuk ibu:
Buatkan temujanji bersama pasangan, samada sekali dalam seminggu atau sebulan. Masukkan temujanji itu dalam diari anda dan anggapkan ia sebagai temujanji yang penting. Jika masa tidak mengizinkan, cuba melancong sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk mengekalkan kehangatan dalam perkahwinan anda.

10. Masa untuk ANDA

Anda letih, kekurangan tidur, kesunyian, mengejar masa untuk menghabiskan tugasan kerja, menjaga bayi, mengemas rumah, menjaga bayi serta anak lain, menjaga hati suami dan mungkin juga ahli keluarga lain. Tidak hairanlah anda kadangkala berasa lesu, murung dan kecewa dengan alam keibuan.

Tip untuk ibu:
Anda perlu meluangkan sedikit masa setiap hari untuk diri sendiri. Ia tidak perlu mengambil masa yang lama – hanya lima minit di tempat kegemaran anda (di taman bunga atau verandah). Tarik nafas panjang atau renggangkan badan untuk memasukkan lebih oksigen ke dalam otak. Pastikan anda mendapatkan pemakanan yang seimbang dan ambillah multivitamin untuk tenaga tambahan. Anda perlu menjaga diri sendiri sebelum mampu menjaga segala yang lain!

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com