Login | Register
Share |
Join us at The Power of “Interactive” Play Parenting Workshop Sign up NOW!

Anda di sini: Laman UtamaArtikel Bahasa Malaysia

Si Comel telah tiba!

Setelah hamil selama 9 bulan, saat-saat kelahiran biasanya dipenuhi dengan pelbagai kebimbangan kerana anda tidak pasti apa yang bakal berlaku.

Anda mungkin telah membacanya atau menontonnya dalam filem: mula-mula akan berlaku Braxton Hicks atau kontraksi (pengecutan) palsu, ketumban akan pecah, bakal ibu menahan kesakitan atau terpaksa dipapah oleh seseorang, ibu bermandi peluh semasa melahirkan anak.

Meskipun anda mungkin menyangka cara anda melahirkan bayi akan serupa watak dalam filem, tetapi realitinya mungkin berlainan – dari penuh dramatik ke kelahiran yang terlalu mudah dan senang. Anda juga akan mendapati setiap pengalaman bersalin adalah berlainan, dengan saat unik tersendiri penuh kegembiraan, kejutan atau amaran palsu! 

Jika anda sedang menghitung hari untuk bersalin, berikut adalah beberapa tip untuk bersedia menghadapi hari persalinan:

Beg bersalin

Doktor mungkin telah menjangkakan tarikh bersalin, tetapi ia biasanya di luar kawalan anda. Menjelang bulan ke lapan, adalah baik untuk bersiap sedia dengan “beg bersalin” yang mengandungi semua kelengkapan yang diperlukan sewaktu bersalin. Ini termasuk: 

  • Rekod perubatan kehamilan
  • Dua set pakaian bayi
  • Empat set lampin pakai buang dan lampin kain
  • Satu set pakaian bersih anda
  • Tuala bayi
  • Selimut bayi untuk membawa bayi pulang

“Beg bersalin” harusnya disimpan dalam kereta sepanjang masa, sedia dibawa jika masa anda sudah tiba!

Kesakitan bersalin

Anda bergegas ke hospital apabila perut merasa sakit, keras dan mengecut, tetapi hampa kerana ia amaran palsu? Malah ibu yang telah berpengalaman pun mendapati kesakitan bersalin sukar dijelaskan kerana kesakitan adalah bergantung kepada tahap ketahanan seseorang ibu.

Kesakitan juga mungkin tidak hadir apabila ketumban pecah. Apatah lagi bagi ibu yang memilih untuk pembedahan Caesarian; mereka mungkin tidak akan merasa pengalaman kesakitan ketika hendak bersalin langsung.

Kebanyakan ibu menggambarkan kesakitan bersalin seperti kekejangan haid, bermula dari bahagian tengah tulang belakang dan perlahan-lahan merebak ke bahagian bawah perut. Sesetengah ibu mengatakan yang kesakitannnya seakan bahagian bawah tubuh mereka tercabut dari tubuh.

Bukan itu sahaja, anda mungkin mengalami pengecutan Braxton Hicks yang serupa dengan kesakitan bersalin. Braxton Hicks bermula lebih kurang sebulan sebelum bersalin dan berfungsi untuk menguatkan otot sekeliling bahagian perut bagi menyiapkan tubuh untuk proses bersalin.

Pengecutan Braxton Hicks datang dan lenyap secara tiba-tiba, manakala kesakitan bersalin menjadi bertambah sakit apabila masa bersalin sudah tiba. 

Normal atau pembedahan Caesarian?

Kebanyakan doktor akan mengesyorkan persalinan secara normal. Meskipun pembedahan Caesarian mungkin kelihatan lebih mudah dan kurang menyakitkan, sebenarnya persalinan secara normal membolehkan tubuh anda sembuh dengan lebih cepat.

Doktor biasanya akan mengesyorkan pembedahan Caesarian jika anda mengalami kehamilan berisiko tinggi (seperti usia yang lanjut, masalah kehamilan yang berpanjangan atau posisi bayi songsang). Sesetengah ibu memilih pembedahan Caesarian kerana sebab peribadi seperti menentukan tarikh dan masa kelahiran bayi mereka. Bincanglah dengan doktor setelah anda memasuki peringkat akhir kehamilan. 

Jika ketumban pecah

Jangan panik! Biasanya ia akan mengambil masa beberapa jam sebelum bayi dilahirkan. Pertamanya anda seharusnya memeriksa samada ia benar-benar ketumban atau kebocoran air kencing kerana wanita yang sarat mengandung cenderung untuk inkontinens atau gagal mengawal kencing. Cecair yang mengalir keluar sepatutnya:

  • Terpancut keluar, bukan mengalir
  • Jernih (seperti air kelapa)
  • Tidak berbau

Jika ketumban anda pecah, kepitkan tuala di celah kaki anda untuk menyerap cecair yang mengalir keluar. Dapatkan “beg bersalin” anda dan terus ke hospital. Sediakan nombor kecemasan seperti nombor telefon kawan-kawan, ahli keluarga atau perkhidmatan ambulan berdekatan sekiranya ia berlaku ketika anda berseorangan. 

Pengecutan akan bermula beberapa jam kemudian. Biasanya jururawat akan memberikan drip oxytoxin untuk mempercepatkan kelahiran. 

Sekiranya air yang keluar berwarna kehijauan, bayi perlu dikeluarkan secepat mungkin kerana ia telah membuang air besar dan mungkin lemas dalam rahim anda. Doktor akan menentukan samada untuk menggunakan forsep, vakum atau menjalankan pembedahan kecemasan Caesarian untuk menyelamatkan bayi.   

Apa yang berlaku di hospital

Setelah tiba di hospital, biarkan pasangan anda mendaftar sementara anda dibawa ke bilik bersalin. Suhu badan, tekanan darah, nadi dan air kencing anda akan diperiksa.

Selepas itu, kardiograph (jalur panjang hitam seperti tali pinggang keselamatan) akan diikat pada bahagian perut anda untuk memantau denyutan jantung bayi semasa anda sedang berbaring. Jururawat akan melakukan ujian dalaman secara berterusan untuk melihat sejauh mana serviks anda telah terbuka.

Kelahiran bayi anda akan mengambil masa dari beberapa minit ke 24 jam. Bayi pertama biasanya akan mengambil masa paling panjang untuk dilahirkan. Jika jururawat memberitahu yang serviks anda masih belum kembang sepenuhnya, cuba untuk rileks dan berjalan sekeliling untuk menolak bayi keluar dengan kuasa graviti.

Setelah serviks anda mengembang sepenuhnya pada 10 sm, jururawat akan memberitahu anda sudah tiba masa untuk meneran. Jangan terperanjat bila mendapati pengecutan berkurangan secara mendadak. Inilah masanya anda perlu mengumpul tenaga dan meneran sekuat hati. Tarik nafas panjang dan tidak lama kemudian anda akan dapat mendengar tangisan pertama bayi anda!

Jam pertama

Bayi akan dibawa keluar selama beberapa minit untuk divaksinkan dan diperiksa jika terdapat sebarang ketidaknormalan. Pada masa yang sama,  jururawat akan menyuruh anda meneran sekali lagi bagi mengeluarkan uri. Ibu-ibu yang telah berpengelaman akan memberitahu anda setiap kelahiran ialah seperti bersalin sebanyak dua kali. Uri anda mesti dikeluarkan, jika tidak pembedahan diperlukan untuk menanggalkannya. 

Setelah itu, anda akan diberikan minuman dan dibenarkan berehat sebentar sehingga bayi dipulangkan ke pangkuan anda buat pertama kalinya. Selamat datang ke dunia keibuan! 

Related links:
Share |

Kembali ke Laman Utama Artikel

Copyright 2010 Mamababyworld Sdn Bhd. All Rights Reserved. Email admin@mamababyworld.com